Sunday, January 14, 2007

= 11 =

Aku masih berbaring di atas katil. Malas nak bersiap walaupun jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam.

“Tak pergi meeting ke?” tegur Suhana yang baru balik dari tandas.

“Ikut hati memang tak nak pergi tapi faham-faham ajelah, meeting tu WAJIB. Menyampah sungguh,”

“Dah pukul 8.30 dah, kau tak siap lagi,”

“Ala, bukannya nak kena bersolek, sarung je tudung kemudian geraklah. Bukannya jauh beribu batu Bilik Gerakan tu,” jawabku selamba.

“Ye lah, suka hati kau lah, Zura. Budak-budak lain mana?”

“Mana lagi, bilik TV lah. Kenapa?”

“Saja je. Aku pun nak ke sanalah. Selamat bermesyuarat dan berdating dengan Abang Zaff,”

“Banyak kau punya dating,”

“Kirim salam pada Abang Zaff ya,”

“Tengoklah, kalau girlfriend dia tak jeling aku, aku sampaikan salam kau tapi kalau awal-awal lagi aku dah kena jeling, aku simpan ajelah salam kau tu ek,”

Sebaik saja Suhana keluar dari dorm, aku melompat dari katil dan menyarung tudung. Buku catatan dan pen di dalam beg, aku ambil. Dengan langkah yang agak malas, aku bergerak ke Bilik Gerakan.

“La…ingatkan saya je yang lewat tapi ada kawan rupanya,”

“Eh, Mimi. Ingatkan dah pergi,”

“Tadi dah nak pergi lepas tu sakit perut pulak, pergi toilet dulu. Takut juga kalau meeting tu lama,”

“Harap-harap tak lama. Tak larat nak duduk lama-lama dalam bilik tu,” ujarku mengharap.

“Betul tu,”

Kami tiba di Bilik Gerakan tepat pukul 9. Aku dan Mimi duduk di bahagian belakang kerana hanya itu kerusi yang tinggal. Lega, tak perlu duduk depan, bisikku kelegaan.

“Assalamualaikum. Terima kasih kepada semua yang hadir. Tujuan kita bermesyuarat hari ini adalah untuk berbincang tentang program khidmat masyarakat yang perlu kita buat untuk tahun ini. Saya buka kepada semua untuk beri cadangan,” ujar En. Othman memulakan mesyuarat. Pelbagai cadangan dikemukakan, aku hanya mendengar sambil tunduk menconteng buku catatan milikku. Aku mengangkat muka apabila terasa ada mata yang memerhatikanku. Tanpa diduga, pandanganku bertembung dengan pandangan Abang Zaff, cepat-cepat aku tunduk. Tak kuasa nak tengok dia. Lagi pun bahaya kalau aku berbalas pandang dengan dia, nanti ‘cik adik’ kesayangan dia bagi jelingan maut kat aku pulak.

Mesyuarat berjalan hampir sejam dan akhirnya keputusan berjaya di capai. Lembaga Pengawas akan membuat khidmat masyarat di kawasan kejiranan yang berhampiran sekolah. Sebaik saja tamat, semua pengawas dijemput untuk menikmati hidangan ringan yang telah disediakan. Aku masih di tempat duduk, membiarkan orang lain mengambil kuih dan teh.

“Tak nak minum ke?”

Aku mengangkat muka sebaik saja mendengar seseorang menegurku.

“Sekejap lagi, malas nak beratur,” jawabku.

“Marah abang lagi ke?”

“Ntahlah. Eh, Kak Dalila panggil tu,” beritahuku sambil menunjuk ke arah Kak Dalila di hujung meja. Abang Zaff menoleh. Kemudian dia menoleh ke arahku semula.

“Mana ada. Kan dia tengah berbual dengan Pn. Ramlah tu,”

“Ada, tadi. Abang pergilah kat dia atau pun tempat lain. Nanti Kak Dalila atau orang lain buat gossip lagi. Zura tak selesa dengan semua tu,”

“Zura, abang minta maaf pasal hari tu. Abang saja nak mengusik tapi tak sangka yang Zura take it serius. Abang minta maaf, okey,” pohon Abang Zaff. Aku hanya memandang.

“Bagi Zura, kata-kata usikan abang tu cukup berbisa. Tengoklah macam mana. Okeylah, Zura nak pergi minum,” ujarku lalu bangun menuju ke meja hidangan. Aku tak tau nak maafkan Abang Zaff atau tidak sebab aku masih terasa dengan apa yang dia kata pada aku. Teruk sangatkah aku sampai dia pun sangka aku baik dengan dia sebab nak mengorat dia, sedihnya, desis hatiku.

No comments: